Kepelbagaian bangsa Han Bangsa_Han

Selain daripada kepelbagaian bahasa tuturan, terdapat juga perbezaan kebudayaan dari tempat ke tempat di kalangan kaum Han. Umpamanya, masakan Cina berbeza-beza dari makanan berempah Sichuan yang termasyhur ke Dim Sim dan makanan laut Guangdong. Bagaimanapun, perpaduan etnik masih wujud antara kedua-dua kelompok ini kerana mereka mengamalkan kebudayaan, tingkah laku, bahasa, dan agama yang sama.

Menurut kajian-kajian saintifik yang baru-baru ini, [3] terdapat sedikit perbezaan genetik di seluruh China. Disebabkan oleh banyak gelombang penghijrahan dari China Utara ke China Selatan dalam sejarah China, adanya banyak persamaan genetik dalam kromosom Y antara lelaki-lelaki Cina Selatan dan Utara. Bagaimanapun, kepelbagaian DNA mitokondria bangsa Han bertambah ketika kita beralih dari China Utara ke China Selatan. Ini membayangkan bahawa banyak penghijrah lelaki dari China Utara berkahwin dengan wanita-wanita tempatan, seperti kaum Yue, selepas tiba di Guangdong, Fujian, dan kawasan-kawasan lain di China Selatan. Dengan penerusan proses pencampuran ini dengan lebih banyak orang Han berhijrah ke selatan, orang-orang di China Selatan dipercinakan dan mengakui diri sebagai orang Han.

Dokumen-dokumen sejarah menunjukkan bahawa bangsa Han berketurunan daripada puak-puak Huaxia kuno yang tinggal di China utara. Pada sepanjang dua milenium yang lalu, kebudayaan Han (iaitu bahasa dan kebudayaannya yang berkait) tersebar masuk ke China selatan, kawasan yang pada asalnya dihuni oleh orang-orang asli selatan, umpamanya mereka yang menuturkan bahasa-bahasa Dai, Austro-Asia dan Hmong-Mien. Ketika kebudayaan Huaxia tersebar dari kawasan tengahnya di lembangan Sungai Kuning, ia menyerap banyak kelompok etnik yang berbeza. Kelompok-kelompok etnik itu kemudian mengakui diri sebagai bangsa Han apabila mereka mengamalkan bahasa (atau kelainan-kelainannya) dan adat resamnya.

Umpamanya, semasa Dinasti Shang, penduduk-penduduk di kawasan Wu di Delta Sungai Yangtze dianggap sebagai puak "gasar". Mereka yang menuturkan bahasa yang berbeza hampir pasti bukannya orang Cina, dan diperihalkan sebagai berpakaian terlalu sedikit serta bertatu. Bagaimanapun, menjelang Dinasti Tang, kawasan ini telah menjadi sebahagian kawasan tengah bangsa Han. Pada hari ini, kawasan ini yang merangkumi Shanghai, bandar raya China yang terbesar, merupakan kawasan yang paling padat penduduknya dan mempunyai ekonomi yang terbaik di China. Penduduk-penduduk di kawasan Wu pada hari ini menuturkan loghat-loghat Wu yang walaupun merupakan sebahagian keluarga bahasa Cina, tidak saling dapat difahami oleh bahasa-bahasa dan loghat-loghat Cina yang lain. Walaupun demikian, mereka tidak melihat diri sebagai suatu kelompok etnik yang berasingan. Kawasan Wu merupakan salah satu contoh yang terlibat dalam penyerapan banyak kelompok kebudayaan yang berbeza dalam penyumbangan kepada kepelbagaian kebudayaan dan bahasa bagi seluruh bangsa Han.